Berita / Akhbar

'INI HADIAH BUAT ARWAH'

on .

Kuala Nerus: “Terima kasih atas anugerah diberikan kepada arwah anak dan menantu saya yang terkorban dalam kemalangan,” kata Hashimah Mustafa, 57.

Hashimah ibu kepada Noor Amalia Noorzan, 34, yang meninggal dunia bersama suaminya, Badrul Hisyam Omar, 41, dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Merchang, Marang, 22 April lalu.

Pasangan suami isteri yang bertugas di Kemaman itu dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kali Ke-46 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Menurut Hashimah, wang sebanyak RM2,000 yang diterima untuk anugerah itu akan digunakan untuk perbelanjaan empat anak arwah berusia antara empat hingga 11 tahun.

“Kami hargai penghargaan diberikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) kepada arwah anak saya dan suaminya.

“Penghargaan ini menunjukkan bahawa JPNT menghargai jasa dan sumbangan mereka walaupun sudah tiada,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, dua daripada 13 mangsa kemalangan membabitkan dua MPV pada jam 6.25 petang itu meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sementara itu, Tokoh Guru Terengganu 2017, Hamzah Othman, 61, berkata, wang tunai RM6,000 yang diterimanya itu akan digunakan untuk perbelanjaan berbuka puasa di Masjidil Haram Makkah pada Ramadan ini.

Hamzah yang menamatkan kerjaya guru pada 2010 selepas lebih 32 tahun bergelar pendidik mengakui penghargaan yang diterima itu adalah hadiah terbesar pernah diterimanya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan penghargaan tertinggi yang pernah saya terima ini,” katanya.

Sumber : hmetro.com.my

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jalan Bukit Kecil,20604 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Tel : 09-6213000. Faks : 09-6238415. Emel : jpnt@moe.gov.my

Web site : http://jpnterengganu.moe.gov.my

Terima kasih kerana mengunjungi Laman Web JPNT
JPN Terengganu tidak bertanggungjawab bagi apa - apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana - mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini

© Hakcipta terpelihara JPN Terengganu 2014. Designed by Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu