Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, langkah itu menepati konsep sekolah penyayang yang menjadi asas utama bagi mengurangkan masalah disiplin.

 

“Kita tidak boleh memberikan tanggungjawab kepada seorang guru disiplin sahaja. Oleh itu, kita mengambil pendekatan supaya semua guru bertindak sebagai guru disiplin.

“Namun, guru tidak perlu terlalu memberi fokus kepada tindakan disiplin atau mengenakan hukuman kepada pelajar bermasalah, sebaliknya mereka perlu menggunakan konsep mendekati dan bermesra dengan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Simposium Psikologi Kaunseling Kebangsaan 2017 di Hotel Primula, di sini , malam tadi yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negrri, Shafruddin Ali Hussin.

Sin Woon berkata, bagi mendepani cabaran makin besar, pihak kementerian akan berusaha menempatkan lebih ramai guru kaunseling profesional di sekolah.

“Kita mahu supaya di setiap sekolah mempunyai kaunselor profesional khusus untuk membantu pelajar yang bermasalah”ujarnya.

Katanya, kecenderungan pelajar untuk mencuba sesuatu yang baharu turut berpunca daripada akses yang tiada batas di laman sosial, selain didorong oleh kurangnya pendekatan guru kaunseling profesional kepada golongan itu. - UTUSAN ONLINE