Kaedah pembelajaran terkini dan lebih efisyen untuk diguna pakai oleh guru-guru menggunakan telefon pintar itu dikendalikan sekumpulan guru yang bertindak sebagai jurulatih atau penggerak program yang diketuai Dr. Syed Abi Gufran Syed Ahmad Al-Idrus.

 

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, e-RPH itu bukan sahaja digerakkan kumpulan di negeri ini malah dari negeri lain yang berminat dan sedia memberikan kerjasama merealisasikannya.

Beliau memberitahu, menerusi sistem atau kaedah itu, guru-guru tidak lagi perlu mencatat secara manual di dalam buku rekod yang disediakan jabatan untuk disemak guru besar atau pengetua pada setiap Khamis sebagaimana sekarang.

“Kaedah e-RPH ini akan beri banyak manfaat kepada guru-guru, saya sudah minta BTP (Bahagian Teknologi Pendidikan) menggunakan sistem ini di mana guru-guru hanya perlu gunakan telefon pintar masing-masing, mereka tak perlu lagi guna buku rekod seperti sekarang,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Negeri Terengganu 2017 di Dewan Besar Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT) di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah BTPNT, Alias Talib.

Sebanyak 49 anugerah disampaikan kepada sekolah-sekolah serta guru tahun ini termasuk dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang, Marang dan SK Mangkok, Setiu yang disandarkan harapan untuk menaiki podium di peringkat kebangsaan nanti.

Shafruddin seterusnya berharap kesemua 505 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini dapat menggunakan sepenuhnya sistem e-RPH itu menjelang tahun 2020.

“Buat permulaan ini, kumpulan guru-guru seramai 5,200 orang sudah mula menggerakkan sistem e-RPH ini sebelum mula dilaksanakan tahun depan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE