Ahad, Januari 20, 2019
RizVN Login


TEMA: GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Bismillairrahmanirahim
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera, Salam Sehati Sejiwa dan Salam Memperkasakan Transformasi Pendidikan.

          “Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa”. Benarlah kata-kata penyair terkenal tanah air, Usman Awang. Begitu hebatnya insan bergelar guru yang memikul amanah yang sangat besar dalam menentukan dan mencorakkan seseorang insan. Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat saya sampaikan sepatah dua kata sempena Perayaan Hari Guru Tahun 2018.

          Perayaan hari guru diadakan setiap tahun untuk menghargai, mengiktiraf dan mengenang jasa para guru dalam mendidik anak bangsa di mana-mana sahaja berada. Pada  kesempatan ini saya mengucapkan tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus lumus selama ini untuk menjayakan pelbagai aktiviti dan program semata-mata untuk kecemerlangan anak didik yang kita kasihi. Alhamdulillah, segala usaha gigih guru-guru telah membuahkan hasil apabila Terengganu terus cemerlang dalam semua peperiksaan awam tahun 2018.  Terima kasih cikgu-cikgu atas usaha dan penat lelah selama ini.

                      Bidang pendidikan merupakan pelaburan yang sangat penting kepada kita semua. Pencapaian yang diperoleh akan menentukan hala tuju seseorang pada masa depan. Untuk itu, marilah kita memberikan fokus utama bagi membentuk dan mengembangkan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial dalam kalangan murid-murid selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menterjemahkan FPK ini pula, Jabatan Pendidikan Terengganu telah memperkenalkan slogan Memperkasakan Transformasi Pendidikan yang menggariskan enam prinsip utama, antaranya termasuklah Transformasi PdP, Transformasi Kemenjadian Murid, Transformasi Guru, Transformasi PGB, Transformasi Sekolah dan Transformasi JPN dan PPD. Transformasi menyeluruh ini telah memberikan kekuatan terhadap kemenjadian pendidikan Terengganu. Oleh sebab itulah, hampir setiap masa kita melihat pelbagai cerita kejayaan pendidikan dan ini bukan sahaja meletakkan negeri Terengganu pada peringkat kebangsaan malah sehingga ke peringkat antarabangsa.  Syabas dan tahniah kepada semua pihak khasnya guru-guru. Kejayaan yang amat bermakna ini adalah milik kita semua.

           GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN  merupakan tema yang sangat signifikan dengan pendidikan abad ke-21. Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak utama merubah sistem pendidikan. Guru adalah jambatan yang membina pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada, bagi  membangunkan modal insan ke suatu tahap yang lebih dinamik dan progresif.  Pemilihan tema ini bertepatan dan berasaskan guru yang serba boleh terutamanya membimbing, mengasuh dan membentuk setiap insan sesuai dengan kehendak semasa. Hal ini kerana masyarakat sentiasa meletakkan harapan yang tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan pembinaan sahsiah selari dengan usaha murni kita melahirkan Generasi Terengganu (Gen-T).

           Bersempena Perayaan Hari Guru Tahun 2018 ini, saya menyeru agar barisan pendidik khasnya di negeri Terengganu sentiasa bersedia menerima Transformasi Pendidikan Negara dan diterjemahkan semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran bersesuaian dengan konsep Pembelajaran Abad Ke-21. Sebagai peneraju Pendidikan Negeri Terengganu, saya sentiasa mengambil langkah meningkatkan profesionalisme guru dan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani, dipandang tinggi dan dihargai oleh masyarakat. FUNGSI DAN PERANAN guru sangat hebat bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan tidak dapat disangkal lagi.  Oleh hal yang demikian, semua pendidik perlu memahami, menyedari dan seterusnya memikirkan strategi pendidikan yang lebih berkesan untuk kemenjadian murid.

           Tahniah dan syabas saya ucapkan. Semoga bakti tuan puan dianugerahkan ganjaran oleh Yang Maha Esa. Kejayaan demi kejayaan murid dan guru di negeri ini, khususnya dalam semua aspek telah membuktikan bahawa guru memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi. Pada kesempatan ini, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidik atas jasa yang dicurahkan.

           Akhir kata, semoga hasrat untuk melahirkan insan yang mempunyai ciri-ciri seperti berkeupayaan berkomunikasi, berkolaborasi,  mempunyai pemikiran kritis, kreatif  serta mempunyai nilai murni dan etika akan terlaksana.

 
SELAMAT HARI GURU
TERIMA KASIH CIKGU
GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN

16 MEI 2018

 

HAJI SHAFRUDDIN BIN HAJI ALI HUSSIN P.J.C., P.J.K.
PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU

 

Muat Turun
Perutusan Hari Guru 2018 Oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu



Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jalan Bukit Kecil,20604 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Tel : 09-6213000. Faks : 09-6238415. Emel : jpnt@moe.gov.my
Web site : http://jpnterengganu.moe.gov.my
Terima kasih kerana mengunjungi Laman Web JPNT
JPN Terengganu tidak bertanggungjawab bagi apa - apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana - mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini

Webmaster Login