Khamis, April 18, 2019
RizVN Login


SHAFRUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 Nov. - Sebanyak 305 atau hanya sembilan peratus daripada 3,406 permohonan guru untuk bertukar bagi berkhidmat ke negeri ini mulai sesi Januari 2019 diluluskan oleh Kementerian Pendidikan.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin memberitahu, kalangan yang bernasib baik kali ini melibatkan 134 orang bagi kemasukan di sekolah menengah dan 171 orang di sekolah rendah termasuk tiga daripada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menurut beliau, kebanyakan mereka yang diluluskan dengan alasan mengikut pasangan yang bertugas di negeri ini, diikuti kalangan yang sudah bertugas lebih empat tahun hingga 15 tahun di luar Terengganu di samping sakit kronik diri atau anggota keluarga terdekat.

"Pihak jabatan menerima 3,406 permohonan pertukaran ke Terengganu (termasuk antara bahagian, Bahagian Pendidikan Islam dan SJKC) iaitu 1,826 permohonan untuk sekolah menengah (termasuk daripada antara bahagian dan Bahagian Pendidikan Islam) dan 1,580 permohonan untuk sekolah rendah.

"Pihak jabatan telah menggunakan pelan penggantian sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu kemasukan guru baharu ke negeri ini akan ditempatkan di Kemaman dan Dungun kecuali yang mengajar subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris, MPV dan penempatan di Pulau Redang.

"Oleh sebab itu, kami berharap agar guru-guru redha di mana-mana sahaja mereka ditempatkan, dan bersedia membuat perubahan untuk menyesuaikan diri dengan cepat di tempat baharu apabila sesi persekolahan 2019 bermula," ujarnya, di sini hari ini.

Daerah Kemaman merupakan antara daerah paling kritikal kekurangan guru akan menerima paling ramai kemasukan iaitu sebanyak 47 peratus (142 orang) dan diikuti oleh Dungun yang menerima sebanyak 27 peratus (83 orang).

Kuala Terengganu dan Setiu menerima enam peratus (18 orang dan 19 orang) manakala Kuala Nerus dan Marang pula menerima lima peratus (16 orang dan 14 orang), dikuti Hulu Terengganu tiga peratus (9 orang) dan Besut 1 peratus atau 4 orang.

Katanya, secara pentadbiran, sesi persekolahan boleh beroperasi dengan jumlah guru yang dibekalkan walaupun Terengganu masih mengalami kekurangan guru di rendah dan menengah kecuali guru Pendidikan Agama Islam/Bahasa Arab yang berlebihan.

"Subjek Bahasa Inggeris masih lagi merupakan subjek kritikal di negeri ini kerana kekurangan bekalan guru tempatan. Bagaimanapun saya percaya pihak kementerian boleh mengatasi masalah kekurangan subjek ini dalam masa yang terdekat.

"Kami mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang dapat kembali ke negeri kelahiran. Bagi yang tidak berjaya bolehlah memohon secara atas talian melalui sistem Eg-Tukar semula yang akan dibuka permohonannya awal tahun hadapan. - UTUSAN ONLINE

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jalan Bukit Kecil,20604 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Tel : 09-6213000. Faks : 09-6238415. Emel : jpnt@moe.gov.my
Web site : http://jpnterengganu.moe.gov.my
Terima kasih kerana mengunjungi Laman Web JPNT
JPN Terengganu tidak bertanggungjawab bagi apa - apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana - mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini

Webmaster Login