Ahad, Januari 20, 2019
RizVN Login

PASUKAN daripada Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu muncul Johan Kategori Inovasi (sekolah menengah)
pada Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Kebangsaan 2018,
di Kuala Terengganu, baru-baru ini. - Ihsan Sm Imtiaz Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Warga Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu mungkin tidak pernah menjangka, masalah penyakit kulit dihadapi sebahagian besar pelajar sekolah itu menjadi batu loncatan untuk mereka melakar kejayaan pada Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Kebangsaan 2018, baru-baru ini.

Inovasi sepasukan empat pelajar sekolah berkenaan mencipta set losyen, sabun dan balm yang diperbuat daripada daun pegaga dan pandan untuk mengubati penyakit kulit ‘scabies’ berjaya dinobatkan sebagai Johan Kategori Inovasi STEM (kategori sekolah menengah).

Pasukan diketuai Muhammad Khairul Naim Rosland, 16, bersama tiga lagi rakannya, Muhammad Harith Syahmi Mohd Shafiei, Hasbe Zuliyana Hasbe Zuzaini dan Hanaa Daud itu membolehkan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,800 serta sijil.

Muhammad Khairul Naim berkata, inovasi produk pegaga dan pandan diberi nama D’Panella itu mengambil masa selama dua tahun bermula sejak beliau berada di Tingkatan Dua pada 2016, selepas mendapati ramai dalam kalangan rakannya menghidap penyakit kulit terutama ‘scabies’.

“Idea ini tercetus selepas ramai rakan di asrama yang terkena ‘scabies’. Saya mengetahui bahawa daun pegaga baik untuk memulihkan luka dan mengubati penyakit gatal-gatal lalu tercetus idea untuk membantu rakan merawat masalah itu dengan pegaga.

“Sebelum itu saya membuat tinjauan kepada 800 responden daripada kalangan penduduk kampung sekitar dan pelajar dan 70 peratus daripadanya mengalami penyakit kulit.

“Sejak itu saya mula membuat kajian mengenai khasiat daun pegaga dalam memulihkan penyakit kegatalan sehinggalah pasukan kami ditubuhkan pada Februari lalu untuk mengkomersilkan produk ini demi manfaat pesakit,” katanya.

Beliau berkata, khasiat daun pegaga atau nama saintifiknya ‘centella asiatica’ bersifat antibakteria, antikuman dan antiradang, sekaligus menjadi agen penyembuh penyakit kulit yang sangat berkesan dan mempercepatkan pemulihan luka dengan merawat tisu yang rosak serta mengurangkan parut.

“Kita tahu masyarakat zaman dahulu menggunakan daun pegaga untuk awet muda dan merawat masalah kegatalan. Bezanya masyarakat dahulu lebih gemar mengambil pegaga dengan dijadikan jus minuman, tetapi golongan muda sekarang tidak gemar makan pegaga.

“Untuk penghasilan produk ini, kita mencampurkan daun pegaga dan daun pandan yang mengandungi ‘alkaloids’, ‘acetyl’ dan ‘pyroline’ secara semula jadi yang membawa aroma segar dan wangi,” katanya.

Muhammad Khairul Naim berkata, produk dihasilkan mereka juga dibuktikan bebas raksa dan melalui ujian klinikal di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebelum dijual.

“Paling penting, D’Panella bukan sahaja bebas raksa, tetapi juga organik dan alami tanpa sebarang campuran bahan kimia. Raksa adalah bahan yang digunakan secara meluas dalam produk kosmetik dan sangat merbahaya pada kulit.

“Malah, kita juga melakukan enam ujian kimia dan kulit di UMT dan UniSZA antaranya merangkumi ujian membabitkan warna kulit, kelembapan, dan keanjalan, dan ia terbukti menunjukkan kesan positif pada kulit,” katanya.

Pelajar Tingkatan Empat itu berkata, produk berkenaan kini dijual di koperasi sekolah dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM10 untuk satu unit losyen, RM5 untuk seunit sabun dan RM10 untuk balm.

Sementara itu Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu, Md Imran Md Nor berkata, pihak sekolah berbangga dengan kebolehan pelajar menghasilkan produk berinovasi yang memberi manfaat kepada orang ramai, terutama pelajar sekolah berkenaan yang menghadapi masalah kulit.

“Kita sentiasa memberi galakan untuk pelajar tampil dengan idea dan inovasi kreatif seperti ini.

"Malah, dengan kejayaan mereka menghasilkan set produk sabun, losyen dan balm yang mendapat sambutan sangat baik di pasaran, kita merancang untuk menghasilkan produk mandian buih dan cecair pencuci menggunakan bahan sama untuk dikomersilkan secara lebih meluas," katanya.

 

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jalan Bukit Kecil,20604 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Tel : 09-6213000. Faks : 09-6238415. Emel : jpnt@moe.gov.my
Web site : http://jpnterengganu.moe.gov.my
Terima kasih kerana mengunjungi Laman Web JPNT
JPN Terengganu tidak bertanggungjawab bagi apa - apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana - mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini

Webmaster Login