Menurut beliau, kebanyakan mereka yang diluluskan dengan alasan mengikut pasangan yang bertugas di negeri ini, diikuti kalangan yang sudah bertugas lebih empat tahun hingga 15 tahun di luar Terengganu di samping sakit kronik diri atau anggota keluarga terdekat."Pihak jabatan menerima 3,406 permohonan pertukaran ke Terengganu (termasuk antara bahagian, Bahagian Pendidikan Islam dan SJKC) iaitu 1,826 permohonan untuk sekolah menengah (termasuk daripada antara bahagian dan Bahagian Pendidikan Islam) dan 1,580 permohonan untuk sekolah rendah."Pihak jabatan telah menggunakan pelan penggantian sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu kemasukan guru baharu ke negeri ini akan ditempatkan di Kemaman dan Dungun kecuali yang mengajar subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris, MPV dan penempatan di Pulau Redang."Oleh sebab itu, kami berharap agar guru-guru redha di mana-mana sahaja mereka ditempatkan, dan bersedia membuat perubahan untuk menyesuaikan diri dengan cepat di tempat baharu apabila sesi persekolahan 2019 bermula," ujarnya, di sini hari ini.

Daerah Kemaman merupakan antara daerah paling kritikal kekurangan guru akan menerima paling ramai kemasukan iaitu sebanyak 47 peratus (142 orang) dan diikuti oleh Dungun yang menerima sebanyak 27 peratus (83 orang).Kuala Terengganu dan Setiu menerima enam peratus (18 orang dan 19 orang) manakala Kuala Nerus dan Marang pula menerima lima peratus (16 orang dan 14 orang), dikuti Hulu Terengganu tiga peratus (9 orang) dan Besut 1 peratus atau 4 orang.

Katanya, secara pentadbiran, sesi persekolahan boleh beroperasi dengan jumlah guru yang dibekalkan walaupun Terengganu masih mengalami kekurangan guru di rendah dan menengah kecuali guru Pendidikan Agama Islam/Bahasa Arab yang berlebihan."Subjek Bahasa Inggeris masih lagi merupakan subjek kritikal di negeri ini kerana kekurangan bekalan guru tempatan. Bagaimanapun saya percaya pihak kementerian boleh mengatasi masalah kekurangan subjek ini dalam masa yang terdekat."Kami mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang dapat kembali ke negeri kelahiran. Bagi yang tidak berjaya bolehlah memohon secara atas talian melalui sistem eGTUKAR semula yang akan dibuka permohonannya awal tahun hadapan. - UTUSAN ONLINE