Ahad, Julai 21, 2019
RizVN Login

Roslan (tiga, kiri) dan Shafruddin (tiga, kanan) memakaikan tanda pangkat Lans Koperal kepada Syukur.

KUALA TERENGGANU - Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan menjadikan ‘Mowgli Malaysia' iaitu Muhammad Syukur Khamis, 14, sebagai Ikon Remaja APM pada Mac depan. Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, pengiktirafan kepada Syukur yang juga merupakan kadet Pertahanan Awam itu, bagi membolehkan remaja tersebut menyebarkan aura positif dan memberi inspirasi kepada rakan sebayanya.

Menurutnya, penganugerahan itu akan dibuat pada Perhimpunan Angkatan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-66 yang akan berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan. "Setelah lihat banyak video diviralkan, saya melihat Syukur ada kelebihan yang boleh kita manfaatkan. APM sendiri akan bantu dia dengan memberi lebih banyak pendedahan, supaya pada masa depan dia boleh dibawa ke sekolah-sekolah berhampiran di Terengganu untuk memberikan motivasi kepada pelajar lain.

Roslan (kiri) meraikan Syukur pada majlis khas di SMK Padang Midin, di sini, hari ini.

"Pada masa yang sama, kita tidak mahu dia tenggelam dengan dunia glamor ini, sebab dia masih belajar. Kita nak beri dia pendedahan supaya apabila dia terdedah dengan dunia luar, Syukur akan menjadi lebih yakin dan boleh memberikan semangat balik kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pesuruhjaya APM Bersama Adik Syukur ‘Kampung Boy' di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah APM Terengganu, LT. KOL (PA) Che Adam A.Rahman dan Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. Sementara itu, pada majlis berkenaan, Roslan mengumumkan Syukur dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal dalam kadet Pertahanan Awam."Saya harap kenaikan pangkat ini akan menggilap lagi bakat kepimpinan yang ada pada beliau dan menjadi pelajar contoh."Selain mempunyai keyakinan yang tinggi, kita harap Syukur akan terus mengutamakan pelajaran. - Sinar Harian

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jalan Bukit Kecil,20604 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Tel : 09-6213000. Faks : 09-6238415. Emel : jpnt@moe.gov.my
Web site : http://jpnterengganu.moe.gov.my
Terima kasih kerana mengunjungi Laman Web JPNT
JPN Terengganu tidak bertanggungjawab bagi apa - apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana - mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini

Webmaster Login