Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, pencapaian itu hasil komitmen kalangan guru-guru advokasi yang berjaya membudayakan VLE kepada pentadbir dan guru-guru lain di sekolah hingga jumlahnya meningkat kepada 90.34 peratus pada tahun lalu berbanding 18.23 peratus pada tahun 2017.

“Di pihak kementerian kita sangat berbangga dengan kejayaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

“VLE ini merupakan satu platform online yang membolehkan guru-guru meletakkan bahan-bahan kreativiti dan inovasi mereka dalam satu platform dengan kemudian akan dikongsi dalam kalangan guru-guru dan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Apresiasi Guru Advokasi Persekitaran Pembelajaran Virtual (VLE) di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan negeri, Wan Mohd. Zuhaidi Wan Hassan dan Pengarah Pemasaran YTL Communications Sdn. Bhd., Shahirul Ismail.

Turut memenangi anugerah ialah Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman iaitu tempat ketiga Penggunaan VLE Terbaik Negeri Peringkat Kebangsaan di samping Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh (johan kategori 6Mbps), SK Sungai Pergam (johan kategori frog appliances), SMK Cherul (kedua kategori ISP Lain) dan SMK Tengku Mahmud 2 (YTL foundation school awards).

Sementara itu, penerima Anugerah Guru Ikon VLE Terengganu 2018, Nor Azlina Abdul Muttlib, 41, berkata, platform tersebut memudahkan lagi akses kepada pembelajaran yang lebih berkesan terutama sekiranya terpaksa menghadiri tugasan atau kursus di luar.

 

Dia yang merupakan guru mata pelajaran sains bagi tingkatan satu dan lima di SMK Balai Besar di Dungun berkata, walaupun pada mulanya kabur dengan penggunaan platform tersebut namun selepas didedahkan dengan kaedah penggunaan, VLE ternyata membantu proses pengajaran dan pembelajaran. - UTUSAN ONLINE